Mengkaji tentang Rasulullah saw tidak akan habis dan tidak jemu-jemu walaupun sudah lebih 1400 tahun berlalu. Semakin dikaji oleh orang yang berakal dalam zaman sains ini, semakin bergemerlapan sinar Islam yang dibawa oleh baginda. Semakin tajam pemikiran manusia, semakin banyak mengkaji Al Quran, semakin terasa jahilnya kita. Inilah keistimewaan Al Quran, semakin mendalam seseorang meneliti Al Quran semakin banyak bertemu perkara yang baru. Itulah sebabnya tidak jemu orang membaca, tidak puas orang menyelidikinya dan tidak pula menjadi zalim orang yang berhukum dengannya.
Rasulullah saw ibarat sebutir berlian yang tercanai, cantik dipandang dari semua sudut, kecuali orang yang tidak mahu mengambil ikhtibar darinya. Mereka akan berkata intan itu kaca. Rasulullah saw adalah contoh yang boleh kita ambil dari berbagai-bagai sudut. Misalnya baginda adalah panglima perang yang unggul, ketua negara yang berwibawa, ketua keluarga yang penyayang, hamba yang taat (abidun) kepada Allah, peniaga yang mahir, ahli sosial yang bijak dan pandai berdikari semenjak berumur 10 tahun.
Tugas besar Rasulullah saw ialah meyebarkan Islam keseluruh alam untuk manusia (dan jin). Baginda merupakan rasul yang akhir, menyeru sekalian manusia ke jalan yang benar dengan bukti yang jelas serta menghindar manusia dari terjerumus ke lembah syirik. Ini adalah berdasarkan firman Allah (12: 108): Maksudnya: ‘Katakan (wahai Muhammad). “ Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan bukti yang jelas dan nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukannya aku dari golongan orang yang mempersekutukan Allah dengan suatu yang lain”. Ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa orang yang mengikut Rasul bertanggungjawab membuat kerja nabi dengan menyebarkan risalahnya kepada sesiapa sahaja manusia di dunia ini. Bahkan kalau kita tidak sampaikannya kita akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak.
Ramai orang telah bercakap mengenai Rasulullah saw, misalnya tentang kehebatannya, kerasulannya dan mukjizatnya. Tetapi yang penting dalam zaman kebangkitan Islam ini, kita kena lihat Islam dari keseluruhannya. Kalau tidak, kita hanya kenal Islam dari segi sembahyangnya sahaja, puasanya sahaja, hajinya sahaja (i.e., ibadat khusus sahaja). Ini tidak memulihkan Islam, bahkan menjadi pincang. Buktinya, sejarah telah mengajar kita bahawa pemimpin dulu dan ulamaknya menonjolkan Islam secara keseluruhannya (syumul). Yang mereka pisah-pisahkan ialah bab-bab dalam ilmu; misalnya fikah, muamalah, muasyaarah, jenayah dan akhlak dengan tujuan memudahkan pelajar memahaminya. Yang salahnya kita hari ini telah memisah-misahkan ilmu itu. Ini mengakibatkan kita mahir suatu bab dan jahil suatu bab lain. Inilah yang dikehendaki oleh musuh Islam. Misalnya hendak melakukan ibadat korban pun wajib memerlukan beberapa kaedah dan peraturan untuk menentukan halal dan sahnya. Pelik kerana perihal ini berlaku dalam masyarakat Islam. Contoh yang lain ialah, sepatutnya apabila pemerintahan komunis (yang tidak percaya kewujudan Allah) runtuh, orang Islamlah yang mengambil alih pemerintahan itu. Tetapi yang menjadi barah dan duri dalam daging ialah kelompok masyarakat Islam yang menolak dan menentang dakwah Islamiah sehingga ranap atau musnah.
Rasulullah saw menanggung berbagai kesusahan untuk menegakkan Islam. Musuh Islam menjalankan beberapa cara untuk mengagalkan risalah Islam dari disebarkan. Mereka mengadakan perundingan dan menawarkan harta, kuasa dan wanita kepada Rasulullah saw. Disamping itu ditawarkan khidmat perubatan. Rasulullah saw menolak dan pernah bersabda: Maksudnya: ‘Kalaulah diletakkan matahari disebelah tangan kananku, bulan disebelah kiri tanganku untuk aku berhenti melakukan kerja ini, aku tak akan berhenti’. Dalam zaman moden ini pun taktik ini masih dipakai oleh musuh Islam: yaitu harta, kuasa dan wanita.
Ada lagi kaedah yang digunakan untuk merosakkan risalah Islamiah Rasulullah saw. Ianya ialah kaedah berkompromi. Misalnya, kaum musyrikin Mekah mengajak Rasulullah saw untuk membuat giliran beribadat di kaabah, atau berkongsi rumah ibadat. Seminggu Islam beribadat, seminggu kemudian Musyrikin pula beribadat di kaabah. Tetapi inipun ditolak oleh Rasulullah saw. Perihal ini memberikan pengajaran kepada ummat Islam supaya tidak berkompromi dalam hal akidah, ibadat dan akhlak. Ini juga memberikan pengajaran supaya ummat Islam mengamalkan Islam secara syumul ( dalam semua bidang kehidupan). Musuh Islam tidak takut kalau orang Islam beribadat hanya berulang alik ke masjid sahaja. (Contohnya kesanggupan seorang sarjana Belanda, Senouk Hogrenge yang masuk Islam secara berpura-pura dan menetap di Mekah beberapa tahun untuk mengetahui rahasia orang Islam).
Ummat Islam mestilah kuat, sabar dan gigih dalam menyebarkan risalah Islamiah. Kalau kita hendak jalankan kerja Nabi, kita haruslah mengetahui bahawa musuh senantiasa ada. Sabar adalah wajib. Rasulullah saw pernah dicurah najis waktu sujud di Masjid Al Haram, tetapi baginda sabar sahaja. Kini musuh Islam terlalu dekat dengan kita, misalnya dalam keluarga kita sendiri, hatta si isteri/suami kita. Mereka inilah yang menghalang kita melalui pujuk rayunya. Misalnya kita hendak ke masjid diajaknya ke tempat lain yang kurang penting atau menonton pertunjukan yang kurang berfaedah. Kisah orang terdekat menghalang dakwah merupakan kisah klasik. Ini disebut oleh Allah dalam Surah At Tahrim 10 :(66:10). Maksudnya: ‘Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua hamba Allah yang soleh di antara hamba-hamba kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya; maka kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari siksa Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke neraka bersama sama orang-orang yang masuk (neraka)”. Dan Allah berfirman At Tahrim ayat 11 (66:11). Maksudnya: ‘Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku binalah untukku sebuah rumah di sisimu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim”.
Rasulullah saw dan ummatnya yang menjalankan risalah Islamiah tetap disakiti dan dianaiya dengan berbagai cara padahal Islam bukanlah menyusahkan orang. Yang susah ialah orang yang sinis terhadap Islam. Ada sahaja kritikannya. Misalnya lihat orang pakai tudung dia rimas, lihat orang pakai kain menggantikan skirt mereka sesak nafas. Lihat anak-anak mengadakan qiamullail rasa sebal hatinya. Sifat-sifat ini sudah ada sejak zaman Nabi lagi, yaitu sifat Abu Lahab yang membenci Nabi. Isteri Abu Lahab tidak kurang juga memusuhi Nabi. Dia sampai sanggup menjual kalong pusaka untuk menaja orang yang menentang Nabi Muhammad saw.
Selain dari memberi tawaran dan berkompromi, ada yang menentang Islam melalui pemulauan atau penyisihan. Misalnya ummat Islam dan keluarga Nabi disisihkan dan dipulaukan dari masyarakat, perniagaan, persemendaan dan ekonomi. Mereka dipulaukan selama tiga tahun. Ada yang mati kelaparan kerana tindakan itu. Di zaman moden ini, misalnya sekatan ekonomi PBB yang didalangi oleh musuh Islam terhadap Libya, Iran, Iraq dan Afghanistan. Hal inilah yang wajib ditangani dengan sabar kerana Allah akan memberikan jalan keluar, membuka pintu keberkatan yang melimpah ruah dari langit dan bumi.
Dakwah Islamiah sepatutnya terus dijalankan oleh ummat Islam. Ia adalah kerana penganut Islam ada dimerata dunia, kekayaan hasil bumi terletak di negara Islam. Masaalah yang timbul ialah orang Islam kekurangan ilmu, amal dan iman. Inilah yang menyebabkan kekayaan hasil bumi kita diproses dan dikuasai oleh orang lain.
Sebagai ummat Islam wajiblah kita membuat semua amalan Islam dengan sepenuhnya. Kita sepatutnya mentaati semua perintah Allah, bukan melanggar atau mengabaikannya. Apabila kita telah menjadi seorang Islam maka hendaklah kita mematuhi ajaran Islam itu sepenuhnya. Bukan hanya sekadar sembahyang, puasa, zakat dan haji semata. FirmanNya: ( Al Baqarah: 208). Maksudnya: ‘Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya’.
Cabaran untuk umat Islam kini semakin hebat. Gesaan negara-negara di dunia ini dengan mengusulkan satu pendekatan hidup dalam satu sistem kehidupan; dari segi sosialnya, ekonominya, politiknya menurut panduan PBB; walaupun sebahagian besar resolusinya bertentangan dengan Islam memberi ancaman kita. Begitu juga dengan cara hidup keduniaan dan kebebasan sosial yang tiada kawalan serta amalan-amalan songsang yang lain amat mencabar dan mempengaruhi generasi hari ini.
Dewasa ini musuh Islam (orang yahudi) mencabar keimanan kita apabila ada orang yang berani berkata bahawa mereka sudah tahu mencipta surah Al Quran. Inilah permainan musuh Islam yang senantiasa menentang Islam dari semua segi. Padahal Allah telah memberikan hujjah sejak Al Quran diturunkan lagi bahwa tidak akan ada manusia yang boleh mencipta walaupun satu ayat seperti Al Quran.
Dikalangan orang Islam sendiri sudah ramai yang menyimpang akidah dan pegangannya mereka. Golongan yang menolak hadis “anti-hadis” adalah satu contoh. Kesesatan nyata kelompok ini bilamana bersholat hanya tiga kali sehari (subu, maghrib dan isyak) serta menolak semua amalan-amalan sunnah dan segala bentuk yang dikatakan hadis Nabi saw.
Inilah kaedah musuh Islam, mereka menukar pandangan hidup ummat Islam supaya yang buruk dan dilarang Allah itu dikatakan baik; manakala perkara yang baik di sisi Allah dan Rasulnya pula dikatakan tidak baik. Apabila perkara ini sudah diterima maka musnahlah benteng kekuatan Islam, yang rugi kita bukan Allah. Oleh yang demikian ummat Islam wajiblah kuat berpegang kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah saw. InsyaAllah selamat dunia dan akhirat.
(Petikan daripada tazkirah Dato’ Mufti Negeri Trengganu di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya Selangor pada Sabtu, 26 Mei 2002.
Thursday, July 3, 2008
Antara kewajipan dan cabaran umat Islam
Posted by jAtt [bHudaK ba3K] at 8:25 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment